Peringkat-Peringkat Isteri Dalam Memberi Ketaatan dan Meminta Nafkah:
Isteri Siddiqin ;
Isteri  yang tidak akan meminta apa-apa dari suaminya sekalipun yang perlu  (dharuri). Apa yang disediakan suaminya, dia terima dengan penuh malu  dan bersyukur. Kalau ada, adalah. Kalau tidak ada, dia bersabar. Tapi  meminta tidak. Apatah lagi yang tidak perlu, kalau diberi pun dia tolak  bahkan adakalanya yang perlu pun dia tolak dengan baik, dia lebih suka  menolong suaminya. Itulah golongan yang bersifat orang yang Siddiqin.  Golongan ini payah hendak dicari terutama di akhir zaman ini, macam  hendak mencari belerang merah atau gagak putih. Ini adalah perempuan  luar biasa.
Isteri Muqarrobin ;
Isteri yang tidak meminta  dari suaminya kecuali yang perlu sahaja. Yang tidak perlu dia tidak akan  memintanya bahkan kalau suaminya memberi yang tidak perlu dia tolak  dengan baik. Tapi kalau yang diperlukan pun tidak ada, dia tetap sabar.  Namun dia tidak akan mendesak suaminya. Dia tetap bersabar dengan  keadaan itu. Itulah golongan Muqarrobin. Golongan ini juga susah hendak  dicari di zaman kebendaan ini, di zaman orang memburu dunia, di zaman  orang memandang dunia adalah segala-galanya.
Isteri Solehin ;
Isteri  yang meminta kepada suaminya yang perlu dan juga sekali-sekala meminta  juga yang tidak perlu seperti ingin sedikit kehidupan yang selesa sama  ada dari segi makan minum, tempat tinggal, kenderaan. Namun kalau  suaminya tidak memberi, dia tetap sabar dan tidak pula menjadi masalah.  Itulah dia golongan orang yang soleh.
Isteri Fasik ;
Isteri  yang selalu sahaja meminta-minta bukan sahaja yang perlu, yang tidak  perlu pun dia suka meminta-minta juga. Kalau diberi pun tidak pernah  puas-puas, tidak pernah rasa cukup, sudah mewah pun tidak rasa cukup.  Kalau tidak diberi menjadi masalah, dia merungut-rungut,  marah-marah,sakit hati, merajuk hingga menjadi masalah dalam rumah  tangga. Inilah dia golongan yang fasik. Isteri ini selalu sahaja derhaka  dengan suami,apatah lagi dengan Tuhan.
Model Muslimah Sejati  Menurut perspektif Islam ;wanita adalah pelengkap kepada lelaki, sekali  gus memelihara keseimbangan ciptaan Allah s.w.t. Malah Rasulullah s.a.w  memartabatkan kaum wanita pada kaca mata Islam sebagai perhiasan dunia  yang paling indah dan unik. Ini sebagaimana sabda Baginda bermaksud:
"Dunia ini penuh perhiasan dan perhiasan yang paling indah ialah wanita yang solehah."(Riwayat Muslim)
Hadis  ini jelas menunjukkan betapa Islam memandang tinggi kedudukan wanita  dalam kehidupan global. Jika ditelusuri dalam lembaran al-Quran, wanita  digambarkan dengan tiga fungsi penting. 
Pertamanya, wanita dianggap sebagai fitnah dan musuh andainya dia tidak dididik dan diasuh serta dibentuk menurut acuan Islam. 
Keduanya,  wanita juga ujian bagi seseorang lelaki dalam menerajui bahtera  kehidupan ke arah kebahagiaan dan kesejahteraan hidup. 
Akhirnya, wanita adalah anugerah Ilahi yang istimewa kepada lelaki yang mendambakan kemesraan dan kebahagiaan hidup.
Sejarah  Islam sebenarnya melahirkan ratusan personaliti wanita terbilang yang  menjadi teladan kepada warga Muslimah dewasa ini. Mereka adalah wanita  contoh yang menempa tinta emas yang mewarnai sejarah kegemilangan dan  keunggulan Islam. Sehubungan itu, Baginda Rasulullah s.a.w bersabda yang  bermaksud:
"Ada empat wanita mulia yang juga penghulu segala wanita  di dunia; mereka itu ialah Asiah binti Muzahim, isteri Firaun; Maryam  binti Imran, ibunda Isa; Khadijah binti Khuwailid, isteri Rasulullah saw  dan Fatimah binti Muhammad, puteri kesayangan Baginda." (Riwayat  Bukhari)
Asiah adalah simbol teladan bagi wanita beriman yang  tetap mempertahankan keimanannya kepada Allah, meskipun hidup sebumbung  bersama suaminya, Firaun yang tidak beriman kepada Allah. Maryam pula  adalah simbol wanita dalam ibadahnya dan ketinggian darjat ketakwaannya  kepada Allah serta mampu memelihara kesucian diri dan kehormatannya  ketika mengabdikan dirinya kepada Allah.
Manakala Khadijah pula  adalah simbol kepada isteri yang setia tanpa mengenal penat lelah  mendampingi suaminya menegakkan panji-panji kebenaran Islam, berkorban  jiwa raga dan segala harta bendanya serta rela menanggung pelbagai  risiko dan cabaran dalam menyebarkan risalah Islam yang diamanahkan pada  bahu Rasulullah.
Akhirnya, Fatimah pula adalah simbol pelbagai  dimensi wanita yang solehah; anak yang soleh dan taat di hadapan  ayahandanya; isteri yang setia dan taat di hadapan suaminya serta ibu  yang bijaksana di hadapan putera puterinya. Dialah pemuka segala wanita  dan juga seorang wanita mithali yang setiap detik kehidupan yang  dilaluinya, sewajarnya dijadikan ikutan Muslimah.
Demikianlah  antara beberapa profil wanita Muslimah contoh yang mewarnai pentas  kehidupan dengan ketenangan, kemesraan dan kesejahteraan hidup di dunia  dan akhirat. Islam menganjurkan setiap Muslim yang bakal melangkah alam  perkahwinan agar berhati-hati memilih calon isteri.
Kriteria  calon isteri penting dalam kehidupan berkeluarga kerana ia adalah antara  ciri kesolehan isteri yang dituntut Islam, di samping bakal menjamin  kerukunan dan kebahagiaan rumah tangga. Dalam hal ini, Rasulullah s.a.w  bersabda maksudnya:
"Janganlah kamu nikahi wanita kerana  kecantikannya, kelak kecantikannya itu akan membinasakannya; janganlah  kamu nikahi wanita kerana hartanya, boleh jadi hartanya akan menyebabkan  kederhakaanmu; sebaliknya nikahilah wanita yang beragama. Sesungguhnya  wanita yang tidak berhidung dan tuli tetapi beragama, itu adalah lebih  baik bagimu."(Riwayat Abdullah ibn Humaid)
Jelas di sini, bahawa  aspek keagamaan dalam diri seseorang isteri adalah penentu hala tuju  sesebuah rumah tangga yang dibina dan dibentuk. Ini kerana agamanya yang  bertapak kukuh dalam jiwa sanubarinya, dia pasti akan taat kepada  suaminya pada semua perkara yang tidak bertentangan dengan perintah  Allah dan tidak mendatangkan mudarat kepadanya. Isteri yang solehah juga  akan bersifat amanah terhadap harta benda suaminya, di samping menjaga  maruahnya. Sewaktu ketiadaan suaminya, seorang isteri solehah memelihara  dirinya dan maruahnya seperti tidak boleh keluar rumah tanpa izinnya,  tidak boleh menerima tetamu yang tidak dikenali dan sebagainya.
Ketaatan dan sifat beramanah seorang isteri solehah ini banyak dipengaruhi oleh firman Allah yang bermaksud:
"...perempuan  yang solehah mestilah taat dan memelihara kehormatan dirinya ketika  ketiadaan suaminya dengan perlindungan Allah..."
(Surah an-Nisa: 34)
Malah isteri yang solehah ingatannya sentiasa segar dengan pesanan Baginda yang bermaksud:
"Jika  seseorang wanita menunaikan solat lima waktu, berpuasa sebulan Ramadan,  memelihara kehormatannya, mentaati suaminya, nescaya dia dapat masuk ke  mana-mana saja pintu syurga menurut kehendaknya."(Riwayat Imam Ahmad)
Isteri  solehah juga adalah isteri yang sentiasa menyempurnakan keperluan  suaminya, di samping memelihara keredaannya pada setiap masa dan  keadaan. Ini kerana keredaan suami adalah anak kunci utama yang  melayakkannya menjadi penghuni syurga penuh kenikmatan.
Sabda Rasulullah bermaksud:
"Mana-mana  isteri yang meninggal dunia, sedangkan suaminya reda kepadanya, nescaya  isterinya akan masuk syurga." (Riwayat Al-Hakim dan Tirmizi)
Apa  yang paling penting ialah isteri solehah adalah pendidik dan pengasuh  terbaik kepada anaknya yang juga penyejuk hati ibu bapa dan saham  akhirat yang pahalanya berkekalan, biarpun ibu bapanya lama meninggal  dunia. Dengan agamanya itu, seseorang ibu akan mewariskan segala ilmu  agamanya kepada anaknya agar mereka kelak akan menjadi anak soleh dan  taat, bukan saja kepada ibu bapa, bahkan taat kepada Allah.
Agama  inilah ramuan terbaik yang boleh melenturkan peribadi anak, perhiasan  akhlak terpuji, mengisi minda dan hati anak dengan keimanan dan  ketakwaan serta membimbing kehidupan ke arah keredaan Ilahi. Demikianlah  betapa besarnya fungsi seorang wanita yang bertindak sekali gus sebagai  isteri dan ibu solehah dalam sesebuah institusi keluarga. Justeru,  Allah menganugerahkan ganjaran syurga bagi wanita solehah yang beriman  dan benar-benar melaksanakan tanggungjawabnya sebagai seorang isteri dan  ibu dalam kehidupan sehariannya.
Akhirnya, Rasulullah s.a.w pernah bersabda, maksudnya:
"Sebaik-baik  wanita itu ialah wanita yang melahirkan anak, yang penyayang, yang  memelihara kehormatannya, yang mulia pada kaca mata ahli keluarganya,  yang menghormati suaminya, menghiaskan dirinya hanya untuk suaminya  tercinta, memelihara diri daripada pandangan orang lain, yang mendengar  kata-kata suaminya dan mentaati segala perintahnya. Apabila bersama  suaminya, dia memberikan apa saja yang diperlukan suaminya dan dia tidak  pula menolak ajakannya serta tidak merendah-rendahkan atau menghina  kedudukan suaminya di hadapan orang lain." (Riwayat Al-Tausi)
_________________
Dunia  ini umpama lautan yang luas.Kita adalah kapal yang belayar di lautan  itu.Andainya muatan kita adalah iman dan layarnya taqwa, nescaya kita  akan selamat dari tenggelam di lautan itu...
 



 
 
2 comments:
bukan senang utk mnjadi isteri yg benar2 solehah =)
insyallah..jika mahu.kita boleh jd isteri yg solehah.
Post a Comment