Genap seminggu pemergian adik..cepat sungguh masa
berlalu…dan aku masih lagi begini. Merindu dan terus merindu. Alhamdulillah,
aku makin boleh menerima kenyataan bahawa adik aku telah pergi dalam sekelip
mata. Tidak cepat sesaat apatah lagi untuk lewat sesaat.
Untuk rasa terkilan….
Memang ada. Tapi aku sendiri tidak pasti terkilan atas dasar
apa. Mungkin tidak menelefon dia beberapa hari sebelum dia pergi. Hanya terniat
di hati saja untuk menelefon. Atau mungkin aku terkilan kerana tahun ini tidak
sempat untuk berbuka puasa bersamanya. Macam-macam menu telah dirancang bersama
Cuma tidak kesampaian. Tidak mengapalah…takdir Allah itu adalah yang terbaik.
Dan mungkin di sana dia lebih tenang, gembira. Dan aku
rasakan di sana dia dapat berkumpul dengan insan-insan yang dikasihi iaitu adik
dan kakaknya yang telah sedia menunggu kehadirannya di sana. Mungkin juga anak
aku turut bersamanya kini. Itu yang aku bayangkan dan berharap. Allah temukan
mereka di taman indah.
Aku juga bermohon moga mereka mendapat tempat tinggal yang
lebih baik dari dulu..mereka mendapat ahli keluarga yang lebih baik dari
kami…insyallah.
Terima kasih Allah kerana meminjamkan aku seorang adik yang
sangat baik…
Saat adik dikafankan..peluh dingin kelihatan.
Alhamdulillah..insyallah. dia menuju jalan yang baik.
Hari ini aku mampu bercerita kisah adik tanpa mengalirkan
air mata. Tapi aku masih lagi tidak dapat menahan air mata mengalir pabila
menbaca mesej terakhir adik sebelum kemalangan berlaku
“YA ALLAH, engkau berikanlah
rahmatmu dalam memelihara insan ini, kerana hanya Engkau sahaja yang mampu
menjaganya jauh lebih baik daripada aku. Mungkin hari ini atau esok aku akan
pergi tanpa sempat bertemu dengannya lagi. YA ALLAH, selamatkanlah insan ini di
dunia dan di akhirat..ampunkanlah dosanya, bahagiankanlah dia, kurniakan
kejayaan dan nur Mu kepadanya serta bimbinglah dia kejalan yang Engkau redhai.
YA ALLAH, sygilah insan ini kerana aku tidak mampu menandingi kasih
sayangmu..aminn”
Adik mungkin telah merasakan ajalnya sudah dekat…hari-hari
terakhirnya dia pergi ke rumah saudara
mara untuk meminta maaf. Katanya raya nanti insyallah boleh pergi lagi. Dan
kata mak long dia tak banyak cakap..tapi banyak tersenyum. Semua tempahan
lukisan telah dia siapkan dan hantar. Namun duit hasil tangannya tidak sempat
dia merasa.
Hari-hari akhirnya juga…dia sempat memberikan duit hasil
kerja dia pada mak. Dia kata tahun ni tak nak beli baju raya. Dan hari-hari
terakhir juga, dia dah basuh kereta dan motor bersih-bersih. Malah banyak juga
pakaiannya dia bagi pada adik-adik sepupunya.
Petang sebelum kemalangan juga, dia ada cakap kat sepupu
“nape letak nama panjang-panjang sangat, nanti susah imam nak baca
talkin”….itulah,tersiratnya nama dia juga panjang sebenarnya. Selalu juga dia
cakap nama dia panjang sangat. Mohd Azizul Affizan. Kalau dalam list kat kampus
nama dia antara yang paling panjang…oh adik.
Tiga hari terakhir juga, abah cakap dirimu
bersungguh-sungguh menyiapkan tiga sarang burung yang sangat unik
designnya…rupanya kamu dah buat siap-siap untuk abah, abg long dan pakcik.
Tapi hingga hari ini aku tidak tahu apakah benda yang ingin
kamu berikan pada aku…kamu pernah cakap mahu berikan sesuatu. Dan sesuatu itu
telah ada ditanganmu. Apa benda itu adik???
Adik…banyak sangat lukisan mu di dalam bilik akak.
Insyallah, bila akak ada duit, akak akan framekan semua lukisan mu. Akak akan
sediakan tempat khas untuk semua replika-replika yang kamu tinggal. Mesin
jahitmu? Tinggal kenangan..banyak juga hasil jahitan yang telah kamu
tinggalkan. Hasil kerja lebih halus dari kerja akak. Oh..malu sungguh.
Dan kini…aku akui, aku kehilangan seorang adik yang berbakat
besar dalam bidang seni.
Adik…untuk kesekian kalinya, akak ucapkan terima kasih.
Terima kasih kerana menjaga mak di dalam wad beberapa minggu lalu…even kamu
kata dalam wad tu kamu sorang je lelaki. Terima kasih dik. Terima kasih juga
menjadi sahabat yang terbaik buat akak. Suka duka akak kamu yang tahu. Kamu
yang jalani. Kamu yang fahami di kala tiada siapa yang faham. Kamu orang
pertama yang menghulur tangan saat akak jatuh. Senantiasa kamu yang pertama
sebelum yang lain. Kamu penguat dikala aku lemah. Sungguh..banyak jasamu pada
aku. Tidak sempat untuk aku balas dik. Tidak sempat aku tunaikan hasratmu untuk
memiliki handset baru. Ingatkan sempat dengan gaji pertama aku. Tapi tidak.
Kini..hari-hari aku sedekahkan alfatihah dan yassin buatmu.
Itu yang aku mampu.
Terlalu banyak kisah yang ingin aku ceritakan tentang
adik…mungkin di lain hari.
Akan terus aku coretkan di sini sebagai kenangan aku dan
dia. Mana tahu satu hari nanti aku terlupa akibat dimamah masa dan usia. Maka
di sini akan dapat aku cari kisah aku dan adik untuk mengingat kembali kenangan
silam. Kenangan kami.
9 comments:
assalamualaikum
sedihnya
Al fatihah untuk arwah,,...
aku menangis...
andainya engkau pergi dulu sebelum ku mestikah aku hidup melara...andai aku pergi dulu sebelum mu jgn lah kau bersedih hati...
coretkan shj disini...agar tidak lupa
al fatihah buat arwah.
Salam.
Al-Fatihah buat arwah..
hanya dengan sedikit coretan sekurang-kurangnya terubat rindu pada dia.. moga dia tenang di sana.
Sedih sgt bace,..arwah mmg sgt baik, lmbut tgkah lakunye,senyuman y diukir setiap kali ke kelas tkkn kami lupkan,takziah utk kluarga arwah,arwah buat paintng d sblh sy d studio mase d perak dahulu. Pemergiaannye sggh memeranjatkan,,
Post a Comment